Sains Malaysiana, 2011;40:1223-1229.

Abstract

Survei keberintangan geoelektrik ini telah dijalankan di kawasan Bukit Tenggek, Setiu, Terengganu untuk mengesan kemungkinan wujudnya terowong lama yang dipercayai berada di kawasan berkenaan. Kaedah keberintangan geoelektrik ini bukanlah asing dan didapati amat berkesan di dalam eksplorasi mencari bahan arkeologi dan struktur terkambus di bawah tanah (terowong dan bahan artifak). Survei keberintangan geoelektrik ini dijalankan dengan menggunakan peralatan ABEM Terrameter SAS1000 dan susun atur elektrod jenis Wenner. Kawasan kajian terletak di kawasan lembah yang lembap dan terdapat anak sungai yang merentasi kawasan tersebut. Imej keberintangan 2-D menunjukkan wujudnya beberapa kawasan beranomali yang boleh dikaitkan dengan struktur yang dicari. Nilai keberintangan yang rendah mewakili kawasan yang dianggarkan wujudnya terowong lama. Manakala anomali yang menunjukkan bentuk gugusan dianggarkan berasosiasi dengan lokasi tong/bahan artifak. Profil keberintangan 3-D menunjukkan anomali yang mungkin disebabkan oleh wujudnya satu terowong mendatar dan dua terowong menegak. Namun, kerja galicari perlu dilakukan bagi menentukan punca sebenar anomali tersebut.