Kajian taburan sterol di Sungai Sepang Besar telah dijalankan pada 17 September 2005 dan 20 Disember 2005. Sampel sedimen telah diambil dengan menggunakan pensampel cekau dari 12 stesen untuk menentukan sumber-sumber yang berbeza bagi sterol dan untuk menentukan aras pencemaran bahan kumbahan di sungai tersebut. Kromatografi Gas-Spektrometri Jisim telah digunakan untuk menganalisis data. Hasil yang diperolehi menunjukkan kawasan Sungai Sepang Besar didominasi oleh kolesterol, β-sitosterol dan stigmasterol, manakala kawasan laut didominasi oleh ergosterol. Secara keseluruhan, Sungai Sepang Besar diklasifikasikan sebagai tercemar dengan kumbahan berdasarkan nisbah coprostanol/kolesterol yang diperolehi.