Abstract

Kandungan sebatian alkohol lemak di dalam tujuh sampel sedimen permukaan dari muara Sungai Kapar, Selangor telah dikenal pasti menggunakan gas kromatografi-spektrometri jisim (GC-MS) dan hasilnya menunjukkan wujudnya 13 sebatian alkohol lemak (C12- C24) termasuk enam sebatian bercabang (-iso dan -anteiso) hadir. Secara keseluruhannya, sampel yang dikaji terdiri daripada 65% alkohol lemak rantai pendek (C12- C20) yang dihasilkan oleh organisma marin manakala 14% adalah alkohol lemak rantai panjang (C21- C24) yang berpunca daripada tumbuhan terestrial dan selebihnya merupakan sebatian bercabang yang dihasilkan oleh proses metabolisme bakteria. Sebatian C16 mendominasi kesemua stesen pensampelan dengan julat kepekatan 29.69-164.35 μgg-1 berat kering iaitu 32% daripada jumlah keseluruhan alkohol lemak. Nisbah antara alkohol lemak rantai pendek dan rantai panjang [Σ(C12- C20)/Σ(C21- C22)] bagi setiap stesen pensampelan memberikan nilai >1, menunjukkan kandungan alkohol lemak rantai pendek sumber marin adalah lebih tinggi daripada kandungan alkohol lemak rantai panjang. Indeks Sumber Alkohol (ASI) pula diguna untuk menganggar kesan input alkohol lemak terestrial ke dalam sedimen marin berdasarkan nisbah alkohol lemak C22/C14 menunjukkan stesen Kp1, Kp2, Kp5 dan Kp6 mempunyai nilai >1; iaitu kandungan C22 adalah lebih tinggi berbanding C14. Walau bagaimanapun, nisbah C22/C16 memberikan hasil yang sebaliknya dengan kesemua stesen didominasi oleh C16 berbanding C22. Kajian ini menunjukkan alkohol lemak (C12- C20) terutamanya sebatian C16 mendominasi kawasan muara Sungai Kapar, Selangor berbanding alkohol lemak rantai panjang (C21- C24).