Survei pengambilan lemak dan asid lemak dalam diet telah dijalankan ke atas penduduk Melayu di sekitar Lembah Klang. Objektif kajian adalah untuk menilai kandungan asid lemak dalam sajian makanan ayam, lembu, ikan dan telur yang diambil oleh subjek kajian. Sampel makanan diperolehi untuk penentuan kandungan komposisi asid lemak menggunakan kromatografi gas. Hasil analisis sampel makanan menunjukkan sajian ikan, telur dan daging mempunyai nilai purata asid lemak tepu (ALT) (ikan 3.06±1.85 g/100g, telur 2.64±1.68 g/100g dan daging 2.50±2.42 g/100g) dan monotaktepu (ALMT) (ikan 2.34±2.16 g/100g, telur 2.49±1.37 g/100g, dan daging 2.31±2.27 g/100g) yang tinggi, manakala nilai
purata asid lemak politaktepu (ALPT) dalam ikan adalah yang tertinggi (0.82±0.57 g/100g) berbanding dengan ayam (0.7±0.29 g/100g), lembu (0.43±0.63 g/100g) dan telur (0.43±0.43 g/100g). Kesemua sajian tidak mempunyai nisbah ω6:ω3 yang seimbang. Kesimpulannya, sajian yang mempunyai kandungan asid lemak politaktepu yang tinggi dan kandungan ω6:ω3 yang seimbang adalah diet yang sihat.