Abstract

Anggaran kuantiti dan pencirian fizikokimia sisa buangan makanan adalah pra-keperluan untuk mengoptimumkan proses pengkomposan. Satu tinjauan untuk menganggar jumlah sisa buangan makanan yang dijana oleh sektor komersial (n=10) dan isi rumah (n=50) di Bandar Baru Bangi telah dilakukan. Kehadiran komponen sisa nasi, sisa berasaskan daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan dan sisa buangan makanan basah yang lain juga diperiksa. Ciri fizikokimia sisa buangan makanan juga dianalisis. Jumlah sisa buangan makanan yang dijana di Bandar Baru Bangi dianggarkan sebanyak 11.41 MT sehari. Sektor isi rumah menyumbang 67.3% manakala sektor komersial menyumbang 32.7% daripada jumlah sisa buangan makanan yang dihasilkan. Kekerapan sisa buangan makanan berkeadaan basah adalah lebih tinggi (p<0.05) di sektor komersial berbanding sektor isi rumah. Sisa nasi merupakan komponen sisa buangan makanan yang paling kerap dijana oleh sektor isi rumah dan sektor komersial. Penilaian ciri fizikokimia menunjukkan nilai pH, kandungan abu, bahan organik, karbon organik, nitrogen dan lemak serta nisbah C/N adalah berbeza (p<0.05) antara sisa buangan makanan yang dijana pada hari yang berlainan. Sisa buangan makanan bersifat asid (pH 4.82-5.17) mempunyai kandungan air (65.9-69.5%) dan lemak yang tinggi (13.1-20.2%) tetapi kandungan nitrogen yang rendah (0.63-0.85%). Walau bagaimanapun, nisbah C/N masih berada dalam julat (20-25) yang sesuai untuk pengkomposan yang berkesan. Oleh yang demikian, dengan memperkenalkan proses pengkomposan, sisa buangan makanan berkenaan berpotensi digunakan sebagai kompos.