Sains Malaysiana, 2017;46:1807-1816.

Abstract

Alginat merupakan polisakarida berstruktur anionik yang terdapat dalam matriks alga perang dan lazimnya digunakan
sebagai agen penggelan, pengemulsi dan penstabil dalam industri makanan. Objektif utama kajian dijalankan adalah
untuk mengenal pasti kesan kaedah pemendakan berbeza terhadap ciri fizikokimia alginat. Dalam kajian ini, alginat
telah diekstrak daripada Sargassum sp. dengan menggunakan dua kaedah pemendakan yang berbeza iaitu melalui
pemendakan dengan garam kalsium dan asid (sampel A) dan juga pemendakan dengan asid dan etanol (sampel B).
Analisis ATR-FTIR telah mengesahkan kehadiran alginat dalam kedua-dua ekstrak Sargassum sp. Hasil pengekstrakan
alginat bagi sampel A dan sampel B masing-masing adalah 28.16% dan 18.24%. Ciri fizikokimia yang diuji ialah warna,
kelikatan, aktiviti penggelan dan kuasa pemerangkapan radikal bebas DPPH dan dibandingkan dengan alginat komersial
(Sigma-Aldrich). Alginat yang terhasil adalah berwarna kuning kecoklatan dan mempunyai kelikatan pseudoplastik
dengan penipisan ricih. Aktiviti penggelan kedua-dua sampel (A & B) adalah berbeza secara signifikan, (p<0.05) dengan
alginat komersial. Kuasa pemerangkapan radikal bebas DPPH sampel A adalah lebih tinggi berbanding alginat komersial
(20.10 ±3.84 & 11.89 ±3.12). Secara keseluruhan, kaedah pemendakan sampel A adalah lebih baik berbanding sampel
B disebabkan oleh hasil alginat yang tinggi, aktiviti antioksidan yang tinggi dan ciri fizikokimia yang hampir setanding
dengan alginat komersial.