Sains Malaysiana, 2017;46:439-448.

Abstract

Dalam kajian ini, bakteria asid laktik (LAB) serta sebatian aroma ikan pekasam daripada spesies yang berbeza
ditentukan. Persampelan ikan pekasam iaitu tilapia, loma, lampam, sepat dan gelama diperoleh daripada pembekal
Perusahaan Ikan Pekasam Kiah di Kuala Kangsar, Perak. Penentuan spesies LAB dijalankan melalui kaedah pencairan
bersiri, pengkulturan LAB, ujian katalase, ujian pewarnaan spora serta ujian pengesanan Gram bakteria dan morfologi.
Pengesahan spesies LAB dijalankan melalui pengekstrakan asid deoksiribonukleik (DNA), amplifikasi dengan tindak
balas rantaian polimerasi (PCR), analisis elektroforesis gel dan penjujukan DNA. Hasil jujukan DNA yang diperoleh
dibandingkan dengan jujukan dalam pangkalan data GenBank di NCBI menggunakan BLAST. Didapati Lactobacillus
brevis KB290 DNA dan Lactobacillus casei W56 wujud dalam pekasam tilapia, Lactobacillus plantarum 16 dalam
pekasam lampam, Lactobacillus casei BD-II kromosom dan Lactobacillus plantarum WCFS1 dalam pekasam sepat,
Corynebacterium vitaeruminis DSM 20294 dan Streptococcus anginosus C1051 dalam pekasam gelama. Manakala
Staphylococcus carnosus subsp. carnosus TM300 kromosom adalah LAB dominan dalam pekasam loma. Sementara
itu, sebatian aroma ditentukan melalui kaedah pengekstrakan cecair menggunakan pelarut metanol dan heksana.
Pemprofilan sebatian aroma dijalankan dengan kromatografi gas-spektometer jisim (GC-MS). Sebatian aroma dalam
ekstrak metanol dan heksana daripada lima jenis ikan pekasam dibandingkan. Bilangan sebatian aroma yang diekstrak
menggunakan metanol adalah lebih banyak berbanding dengan yang menggunakan heksana. Sebatian aroma yang
paling banyak dikesan adalah daripada pekasam loma. Asid karboksilik merupakan sebatian yang paling dominan
dalam ikan pekasam dan memberi bau hamis serta tengik.