Jurnal Psikologi Malaysia, 2013;olume 27:55-71.

Abstract

Kes relaps dalam kalangan penagih dadah heroin semakin meningkat bilangannya di Malaysia. Kajian ini cuba mengaitkan kes relaps ini dengan tempoh penyalahgunaan heroin terhadap daya ingatan dan bahagian otak dalam usaha meleraikan persoalan tingkah laku relaps. Seramai 45 orang subjek terlibat dalam kajian ini. Kesemua subjek dipilih secara rawak berdasarkan kepada tempoh penagihan. Subjek dibahagi berdasarkan tempoh penagihan singkat, penagihan lama dan subjek normal. Setiap kumpulan diwakili seramai 15 orang subjek. Kajian ini dijalankan secara eksperimen selari dengan menggunakan ujian tingkah laku melalui ujian ingatan N-Back dan juga ujian pengimejan melalui ujian (fMRI). Dapatan data daripada ujian tingkah laku dianalisis menggunakan Program SPSS. Manakala data daripada ujian kefungsian pengimejan resonans magnet (fMRI) dianalisis menggunakan perisian pemetaan statistik berparameter (SPM) dan MATLAB (r2008a). Pengujian hipotesis dilakukan dengan menggunakan ujian ANOVA rekabentuk campuran (repeated measure) dan juga Post Hoc serta analisis kesan rawak (RFX) untuk melihat tahap pengaktifan otak yang dilakukan dengan menggunakan SPM. Hasil kajian menunjukkan bahawa daya ingatan berbeza secara signifikan mengikut tempoh pengambilan, wujud interaksi yang signifikan antara tempoh pengambilan dadah dengan ujian N-Back, dan perbezaan corak pengaktifan pada bahagian otak dalam kumpulan eksperimen dan kawalan mengikut kesukaran ujian N-Back yang diberikan. Kajian ini menunjukkan semakin tinggi tempoh penagihan semakin kurang pengaktifan bahagian otak dan semakin tinggilah kecenderungan penagih untuk merelaps.