Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
  • 2 Universiti Teknologi MARA
MyJurnal

Abstract

Kajian garis pangkal pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) telah dijalankan ke atas 2 orang subjek lelaki sihat dominan tangan kanan dan kiri. Kajian ini menggunakan gerakan jari tangan kanan dan kiri untuk merangsang aktiviti neuron di dalam korteks serebrum. Subjek diarahkan supaya menekan jari-jari pada ibu jari secara bergilir-gilir semasa imbasan fMRI dilakukan. Paradigma 5 kitar aktif-rehat digunakan dengan setiap kitar mengandungi satu blok aktif dan satu blok rehat dengan 10 siri pengukuran untuk setiap blok. Seratus isipadu imej fMRI bagi setiap subjek dianalisis menggunakan pekej perisian MatLab dan SPM2. Model linear am (GLM) digunakan untuk menganggar secara statistik parameter yang mencirikan model rangsangan hemodinamik bagi gerakan jari. Kesimpulan mengenai pengaktifan otak yang diperhatikan dijana secara statistik berasaskan teori medan rawak (RFT) Gaussian. Keputusan menunjukkan bahawa rantau otak yang aktif akibat gerakan jari adalah pada girus presentral merangkumi kawasan motor primer. Pengaktifan otak adalah secara kontralateral terhadap gerakan jari tangan kanan dan kiri. Keamatan isyarat keadaan aktif didapati lebih tinggi secara bererti (p < 0.001) daripada keamatan isyarat keadaan rehat. Bilangan voksel yang aktif didapati lebih tinggi pada hemisfera otak yang mengawal gerakan jari bagi tangan yang tidak dominan untuk kedua-dua subjek. Keputusan ini menyokong fakta bahawa kawasan pengaktifan motor pada hemisfera otak semasa gerakan jari tangan yang tidak dominan mengalami rangsangan hemodinamik yang lebih tinggi dan kawasan pengaktifan yang lebih luas berbanding dengan kawasan pengaktifan pada hemisfera otak yang mengawal gerakan jari bagi tangan yang dominan.