Affiliations 

  • 1 Universiti Kebangsaan Malaysia
MyJurnal

Abstract

Kajian garis pangkal pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) telah dijalankan di Jabatan Radiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ke atas seorang subjek lelaki sihat berumur 25 tahun menggunakan sistem pengimejan resonans magnet (MRI) 1.5 T. Kajian ini menggunakan gerakan jari tangan kanan dan kiri untuk merangsang aktiviti neuron di dalam korteks serebrum. Subjek diarahkan supaya menekan jari-jari pada ibu jari secara bergilir-gilir semasa imbasan kefungsian dilakukan. Paradigma 5 kitar aktifrehat digunakan dengan setiap kitar masing-masing mengandungi 20 siri pengukuran. Keputusan menunjukkan bahawa rantau otak yang aktif akibat gerakan jari adalah girus presentral merangkumi kawasan motor primer. Pengaktifan otak adalah secara kontralateral terhadap gerakan jari tangan kanan dan kiri. Keamatan isyarat keadaan aktif didapati lebih tinggi daripada keamatan isyarat keadaan rehat. Analisis yang dilakukan ke atas beberapa rantau pengaktifan yang diminati (ROI) pada beberapa hirisan menunjukkan perbezaan yang bererti (p < 0.05) antara keamatan keadaan aktif dan rehat untuk nilai ambang statistik (Z) = 1.0 dan 1.5. Perbezaan purata antara kedua-dua purata keamatan isyarat keadaan aktif dan rehat pada manamana hirisan untuk kedua-dua nilai Z menunjukkan magnitud pengaktifan yang lebih tinggi pada hemisfera kanan otak iaitu apabila subjek menggerakkan tangan kirinya. Bilangan voksel yang aktif juga didapati lebih tinggi pada hemisfera kanan berbanding pada hemisfera kiri otak. Keputusan ini menyokong fakta bahawa bagi subjek yang tidak kidal, kawasan pengaktifan motor pada hemisfera kanan otak semasa gerakan jari tangan kiri mengalami rangsangan hemodinamik yang lebih tinggi berbanding dengan hemisfera kiri otak semasa gerakan jari tangan kanan. Fenomena rangsangan hemodinamik yang diperhatikan dalam kajian ini dibincangkan berdasarkan kepada kebergantungan kontras isyarat kepada aras oksigen darah (BOLD).