Sains Malaysiana, 2018;47:1843-1852.

Abstract

Proses penuaan seringkali dikaitkan dengan kemerosotan pada sistem kognitif. Kemerosotan kognitif bermula seawal
usia dua puluhan dan berterusan secara linear. Selain itu, kemerosotan kognitif juga menjadi lebih nyata dengan
kehadiran hingar latar. Walau bagaimanapun, kesan penuaan ke atas mekanisme pemprosesan persepsi pertuturan
menggunakan tugasan mengulang secara terus (FRT) dalam senyap dan hingar belum difahami dengan jelas. Dalam
kajian ini, pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) digunakan untuk membandingkan kesan penuaan ke atas
kehubungan efektif otak yang terhasil daripada tugasan FRT ke atas subjek normal dengan empat kumpulan umur yang
berlainan iaitu 20 - 29 tahun (n = 15), 30 - 39 tahun (n = 15), 40 - 49 tahun (n = 10) dan 50 - 65 tahun (n = 14). Satu siri
lima perkataan yang diselang-seli dalam keadaan hingar dengan senyap diberikan secara auditori. Pemetaan statistik
berparameter (SPM8) dan pemodelan dinamik penyebab (DCM10) digunakan untuk menentukan kehubungan efektif otak.
Kawasan yang terlibat dalam pembinaan model kehubungan efektif otak adalah STG, HG dan PCG. Model optimum yang
dipilih dalam kajian ini adalah model yang menunjukkan keseimbangan antara ketepatan dan kesukaran. Keputusan
fMRI kehubungan efektif menunjukkan bahawa komunikasi antara intrahemisfera tidak berubah dengan menggunakan
tugasan FRT ini apabila seseorang semakin berusia, tetapi komunikasi antara interhemisfera menjadi semakin kompleks.