Sains Malaysiana, 2017;46:1987-1995.

Abstract

Ionosfera merupakan satu lapisan atmosfera bumi yang mengandungi elektron bebas dan boleh memberi kesan ralat
kepada perambatan gelombang elektromagnetik terutama kepada sistem kedudukan global (GPS). Kesan jumlah
kandungan elektron (TEC) dan fenomena melibatkan sistem suria-magnetosfera-ionosfera-termosfera kepada isyarat
satelit dan komunikasi radio sentiasa berubah. Kajian ini memfokuskan kepada perubahan TEC ketika aktiviti suria
di tahap minimum. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji variasi TEC di rantau Malaysia terhadap masa
harian, perubahan musim, aktiviti suria dan medan magnet bumi. Isyarat GPS yang disebarkan pada dua frekuensi
jalur L1 dan L2 mengandungi data kod dan fasa membolehkan pengiraan TEC diperoleh menggunakan GPS. Data GPS
pada tahun 2007 yang diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), digunakan dalam kajian ini.
Hasil kajian di Asia Tenggara menunjukkan ketika musim ekuinoks, nilai purata TEC dicatatkan tinggi iaitu 35 TEC unit
(TECU) berbanding dengan nilai purata TEC pada soltis yang mencatatkan bacaan 25 TECU. Aktiviti suria didapati lebih
memberi kesan kepada perubahan TEC berbanding dengan medan magnet bumi dengan faktor kolerasi antara aktiviti
suria adalah lebih tinggi iaitu 0.64 berbanding dengan medan magnet bumi iaitu 0.34 sahaja. Kajian ini tertumpu ketika
aktiviti suria di tahap minimum dengan keadaan medan magnet bumi secara puratanya adalah senyap. Ini seterusnya
membolehkan hasil kajian ini menjadi asas kepada maklumat mengenai ionosfera di Malaysia.