Abstract

Bemisia tabaci (Gennadius) merupakan spesies lalat putih utama dan berbahaya kepada pertanian. Kajian telah dijalankan di Stesen MARDI Jalan Kebun, Klang, Selangor dari 9 September 2006 hingga 11 November 2007. Objektif kajian ini adalah untuk menilai kesan populasi lalat putih terhadap tanaman cili yang diberi kadar nitrogen yang berbeza (0, 33, 43, 53 g/pokok). Keputusan kajian menunjukkan pokok cili yang dibaja dengan kadar nitrogen yang tinggi menyebabkan peningkatan yang bererti (P<0.05) kepada populasi B. tabaci peringkat belum matang berbanding pada pokok cili yang dibajakan nitrogen pada kadar rendah. Min bilangan B. tabaci pada peringkat belum matang per aras kanopi adalah berbeza secara signifikan (P<0.05) antara aras kanopi dan antara perlakuan. Secara amnya, min bilangan telur dan larva B. tabaci adalah lebih tinggi secara bererti (P<0.05) pada aras kanopi atas berbanding tengah dan bawah. Walau bagaimanapun, min bilangan pupa B. tabaci adalah tinggi secara signifikan (P<0.05) pada aras kanopi bawah berbanding aras kanopi atas dan tengah. Min bilangan B. tabaci pada peringkat belum matang adalah berbeza secara bererti (P<0,05) mengikut minggu selepas pokok cili ditanam pada semua perlakuan. Secara amnya, populasi B. tabaci lebih tinggi semasa awal musim penanaman dan menurun selepasnya hingga ke akhir musim kecuali pada minggu ketiga dan ketujuh selepas pokok cili di tanam.