Abstract

Hiperkolesterolemia merupakan suatu keadaan yang dikaitkan dengan perubahan aras lipid serum serta peningkatan aras peroksidaan lipid. Kajian ini dilakukan untuk melihat kesan ekstrak akues isi dan kulit buah Hylocereus polyrhizus (HP) terhadap jumlah kolesterol dan trigliserid (TG) serum serta aras malonaldehid (MDA-TBAR) hati tikus teraruh hiperkolesterolemia. Tikus Sprague dawley jantan diaruh menjadi hiperkolesterolemia dengan pemberian diet rat chow bersama 15% minyak sapi selama 8 minggu dan 0.02 g kolesterol secara suap paksa dua kali seminggu. Tikus-tikus diberi perlakuan ekstrak isi dan kulit buah HP, 300 mg/kg secara suap paksa selama 10 hari. Hasil menunjukkan aras kolesterol menurun secara signifikan (p<0.05) pada kedua-dua kumpulan hiperkolesterolemia yang diberi rawatan ekstrak isi dan kulit buah HP sebanyak 43.53% dan 51.36% berbanding tikus kawalan hiperkolesterolemia. Aras TG menunjukkan penurunan secara signifikan (p<0.05) sebanyak 38.0% bagi kumpulan tikus yang diberi rawatan ekstrak isi dan 42.98% bagi rawatan dengan ekstrak kulit buah HP. Peningkatan aras MDA-TBAR hati telah direncat dengan penurunan aras MDA-TBAR sebanyak 56.85% bagi kumpulan tikus yang diberi ekstrak kulit serta sedikit penurunan iaitu 10.27% bagi tikus yang diberi ekstrak isi berbanding tikus kawalan hiperkolesterolemia. Kajian ini menunjukkan bahawa kedua-dua ekstrak akues isi dan kulit buah HP merendahkan aras lipid serum serta aras MDA-TBAR hati pada tikus teraruh hiperkolesterolemia. Walau bagaimanapun, kesan ekstrak kulit lebih jelas berbanding ekstrak isi yang mungkin disebabkan oleh kandungan betasianin yang lebih tinggi dalam kulit berbanding isi buah HP.