Sains Malaysiana, 2014;43:415-421.

Abstract

Piper sarmentosum atau kaduk mengandungi aras naringenin iaitu antioksidan semula jadi yang tinggi. Dalam kajian ini, model hepatotoksisiti aruhan parasetamol telah digunakan untuk menentukan kesan antioksidan ekstrak metanol kaduk. Lapan belas ekor tikus Wistar jantan (200-250 g) telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Satu kumpulan diberi ekstrak metanol kaduk pada dos 500 mg/kg secara oral, sementara kumpulan lain menerima larutan pengangkut secara oral selama 28 hari. Selepas 28 hari, kumpulan yang menerima ekstrak kaduk (Kaduk+PCM) dan satu lagi kumpulan (PCM) diberi parasetamol sebanyak 1 g/kg berat badan tikus secara intraperitoneum, manakala kumpulan terakhir (kawalan) hanya diberi larutan pengangkut secara intraperitoneum. Selepas 24 jam, darah tikus diambil bagi pengukuran enzim aminotransferase. Tikus-tikus kemudiannya dibunuh dan sampel hepar diambil untuk pengukuran kandungan malondialdehid, protein karbonil dan aktiviti enzim superoksida dismutase. Terdapat penurunan yang signifikan pada kandungan malondialdehid dan protein karbonil serta peningkatan aktiviti enzim superoksida dismutase dalam kumpulan Kaduk+PCM berbanding kumpulan PCM. Walau bagaimanapun, tiada penurunan aras enzim aminotransferase yang signifikan dalam kumpulan Kaduk+PCM berbanding kumpulan PCM. Kesimpulannya, pemberian ekstrak metanol Piper sarmentosum sebanyak 500 mg/kg selama 28 hari mempunyai kesan perlindungan ke atas hepar tikus daripada kecederaan oksidatif aruhan parasetamol.