Sains Malaysiana, 2017;46:1611-1616.

Abstract

Penghasilan radikal bebas oleh nikotin dikaitkan dengan kerosakan sistem pembiakan lelaki terutamanya sperma dan testis. Penggunaan rawatan yang berasaskan herba seperti Hibiscus sabdariffa Linn. (HSE) kian meningkat disebabkan kandungan antioksida semula jadi yang tinggi. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengkaji kesan ekstrak akueus HSE terhadap kualiti sperma dan tekanan oksidatif testis tikus yang diadministrasi nikotin. Sejumlah 21 ekor tikus jantan Sprague-Dawley dibahagikan secara rawak kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan kawalan, nikotin dan nikotin+HSE. Nikotin disuntik secara intraperitoneum pada dos 0.6 mg/kg berat badan manakala HSE diberikan pada dos 100 mg/kg berat badan secara paksaan oral sebelum administrasi nikotin pada setiap hari selama 21 hari berturut-turut. Hasil kajian menunjukkan bilangan, motiliti dan viabiliti sperma lebih tinggi secara signifikan (p<0.05) manakala peratus ketaknormalan morfologi sperma lebih rendah secara signifikan (p<0.05) bagi pada kumpulan nikotin+HSE berbanding kumpulan nikotin. Sementara itu berlakunya penurunan aras malondialdehid (MDA) dan peningkatan aras glutation terturun (GSH) secara signifikan (p<0.05) bagi kumpulan nikotin+HSE berbanding kumpulan nikotin. Pemerhatian histologi mendapati HSE berpotensi melindungi morfologi testis tikus aruhan nikotin. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa pemberian suplemen ekstrak HSE berpotensi mencegah kerosakan sperma dan testis akibat administrasi nikotin.