Abstract

Diabetis mellitus merupakan sejenis penyakit metabolik yang disebabkan oleh peningkatan aras glukosa darah serta memberi kesan komplikasi terhadap kesihatan. Peningkatan aras glukosa dalam darah berpunca daripada kegagalan penghasilan insulin yang berperanan dalam mengawalatur aras glukosa darah. Lebih 90 % pesakit diabetis turut mengalami masalah gangguan fungsi seksual lelaki seperti penurunan libido, impoten dan infertiliti di mana kesemua masalah ini adalah disebabkan oleh kegagalan testis yang berkaitan dengan ciri hiperglisemia pesakit diabetis itu sendiri. Infertiliti merujuk kepada ketidaksuburan sperma atau ketidakupayaan individu untuk menghasilkan sperma yang normal. Kajian ini dijalankan untuk melihat potensi ekstrak akues Gynura procumbens (GP) untuk menurunkan aras glukosa darah serta meningkatkan kualiti sperma tikus jantan strain Sprague dawley teraruh diabetis. Tikus diaruh diabetik melalui suntikan intravena streptozotocin (STZ), 65 mg/kg. Kualiti sperma ditentukan berdasarkan parameter berbeza yang dikaji iaitu bilangan, motiliti dan peratus mortaliti sperma. Tikus-tikus ini dibahagi kepada dua kumpulan iaitu normal dan diabetik. Setiap kumpulan ini dibahagi kepada 2 sub kumpulan dengan perlakuan yang berbeza iaitu kawalan (n=5) dan dos 50 mg/kg (n=5) di mana tikus ini diberikan rawatan selama 10 hari berturut-turut menggunakan ekstrak akues GP melalui kaedah suap paksa. Hasil menunjukkan rawatan dengan ekstrak GP menurunkan aras glukosa darah tikus diabetik daripada 15.08 ± 1.878 mmol/L kepada 10.42 ± 2.71 mmol/L secara signifikan (p<0.05). Rawatan dengan ekstrak GP turut meningkatkan bilangan sperma normal dalam tikus diabetik secara signifikan (p<0.05). Bilangan sperma normal dalam tikus diabetik yang diberi rawatan ekstrak ialah (50.23 ± 3.12) x 107 berbanding tikus kawalan diabetik (39.93 ± 8.06) x 107. Sebanyak 38.5% tikus kawalan diabetik menghasilkan motiliti sperma gred d iaitu sperma tidak bergerak (immotil). Walau bagaimanapun, tikus diabetik yang diberi rawatan ekstrak GP menunjukkan penurunan sperma dalam gred d kepada 30.48% serta peningkatan sperma gred a iaitu sperma bergerak paling pantas daripada 31.25% kepada 34.86%. Tikus diabetik yang dirawat dengan ekstrak GP menunjukkan penurunan secara signifikan (p<0.05) dalam peratusan mortaliti sperma iaitu daripada 50.09 ± 14.34% kepada 30.57 ± 4.61%. Hasil ini menunjukkan ekstrak akues Gynura procumbens dapat menurunkan aras glukosa darah, merawat ketidaksuburan serta meningkatkan spermatogenesis pada tikus diabetik jantan.