Keupayaan Centella asiatica (CA) untuk bertindak sebagai antioksidan dan agen anti-radang telah banyak dilaporkan. Namun begitu, kaedah pengekstrakan CA untuk memperoleh hasil yang terbaik masih dipersoalkan. Dalam kajian ini, kami menilai tiga kaedah pengekstrakan CA dan membuat perbandingan ekstrak dari segi aktiviti antioksidan dan anti-radang, dan juga kandungan sebatian bioaktif, asiaticoside dan madecassoside. Centella asiatica diekstrak menggunakan pelarut etanol, metanol dan juga air. Kandungan sebatian fenolik ekstrak diukur menggunakan kaedah reagen Folin-Ciocalteu. Kandungan asiaticoside dan madecassoside ditentukan dengan kaedah HPLC. Aktiviti antioksidan diukur dengan asai 2,2-diphenyl-1-picrylhydrazyl (DPPH) dan asai penurunan kuasa Ferric Reducing Antioxidant Power (FRAP). Aktiviti anti-radang ditentukan dengan kebolehan ekstrak untuk merencatkan enzim tapakjalan keradangan, COX-1 dan COX-2, serta kebolehan ekstrak melindungi sel fibroblas aruhan 12-O-tetradecanoylphorbol-13-acetate (TPA) daripada menghasilkan prostaglandin E2 (PGE2 ). Hasil kajian menunjukkan aras sebatian fenolik, asiaticoside dan madecassoside tertinggi dalam ekstrak etanol, diikuti metanol dan esktrak akues (masing-masing 17.76 g/100g, 15.52 g/100g, 13.16 g/100g untuk sebatian fenolik, 42.86 mg/g, 36.37 mg/g, 2.82 mg/g untuk asiaticoside and 18.66 mg/g, 15.87 mg/g, 3.75 mg/g untuk madecassoside). Ketiga-tiga ekstrak menunjukkan aktiviti antioksidan sederhana berbanding kawalan positif. Kesemua ekstrak, asiaticoside dan madecassoside merencat COX-1 dan COX-2 dan menyekat penghasilan PGE2 -aruhan TPA. Ekstrak etanol dan metanol merupakan perencat COX yang lebih kuat dan lebih poten daripada ekstrak akues. Oleh itu, walaupun ekstrak akues menunjukkan kebolehan antioksidan yang lebih tinggi, dari segi aktiviti anti-radang, pelarut hidrofobik iaitu etanol dan metanol ternyata lebih baik untuk mengekstrak Centella asiatica.