Sains Malaysiana, 2013;42:1591-1597.

Abstract

Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan penglibatan pengaruh tekanan pengoksidaan dalam patogenesis osteoporosis. Justeru agen antioksida berpotensi untuk digunakan bagi merawat dan mencegah osteoporosis. Dalam kajian ini, vitamin E sawit dalam bentuk fraksi-kaya tokotrienol (‘tocotrienol-rich fraction’, TRF) telah digunakan. Perbandingan dibuat antara rawatan TRF, kalsium dan estrogen terhadap parameter histomorfometri struktur tulang, kandungan kalsium dan kekuatan biomekanikal tulang pada tikus betina terovariektomi. Sebanyak 48 ekor tikus betina Sprague-Dawley dibahagikan kepada enam kumpulan, iaitu kawalan asas, sham, ovariektomi (OVX) dan kumpulan ovariektomi yang diberi rawatan samada kalsium, estrogen atau TRF. Rawatan diberikan secara paksaan oral selama dua bulan. Berdasarkan ujian histomorfometri tulang, tikus-tikus terovariektomi yang diberi kalsium, estrogen atau TRF menunjukkan peningkatan isi padu trabekular dan pengurangan jarak antara tulang trabekular secara signifikan berbanding dengan tikus kawalan ovariektomi. Disamping itu, rawatan estrogen dan TRF meningkatkan ketebalan trabekular secara signifikan berbanding dengan kumpulan OVX dan kalsium. Melalui ujian kandungan kalsium tulang, tikus yang diberi rawatan kalsium mempunyai aras kandungan kalsium dalam vertebra lumbar ke-empat yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan sham dan OVX. Kesimpulannya, rawatan kalsium, estrogen dan TRF berupaya memberikan kesan positif terhadap struktur tulang trabekular. TRF dan estrogen mampu mencegah penipisan tulang. Rawatan kalsium meningkatkan kandungan kalsium tulang, namun ia tidak berupaya untuk mencegah penipisan tulang.