Sains Malaysiana, 2018;47:595-601.

Abstract

Suar suria merujuk kepada aktiviti matahari yang ditafsirkan sebagai cahaya terang yang meletus secara tiba-tiba
dari permukaan matahari. Ia mampu menjejaskan sistem ionosfera bumi justeru mengganggu mana-mana arus yang
mengalir di lapisan tersebut. Kejadian ini dapat diperhatikan melalui pemerhatian data magnetometer yang dicerap
di bumi. Kesan umum suar suria adalah peningkatan kekonduksian ionosfera seterusnya meningkatkan keamatan arus
namun didapati terdapat beberapa suar suria mampu memberikan kesan sebaliknya. Terdapat kajian yang melaporkan
bahawa satu suar suria mampu meningkatkan keamatan arus di sesetengah kawasan dan pengurangan keamatan
pada kawasan yang lain. Kajian lepas pula lebih tertumpu kepada kesan suar suria pada kawasan sektor tertentu atau
setempat. Walau bagaimanapun, kajian ini mengambil pendekatan untuk menganalisis sifat suar suria dan kesannya
menggunakan taburan data yang lebih meluas iaitu melibatkan stesen magnetometer yang dipasang di lima sektor. Data
yang digunakan adalah daripada jaringan Magnetic Data Acquisition System/Circum Pan Magnetometer Network Pacific
(MAGDAS/CPMN) dan suar suria dikenal pasti melalui data fluks sinar-X yang dicerap daripada satelit Geostationary
Operational Environmental Satellite 15 (GOES 15). Keputusan kajian menunjukkan kesan suar suria yang tidak pernah
ditemui sebelum ini iaitu pengurangan keamatan arus pada semua data cerapan di khatulistiwa magnetik dan punca
yang dicadangkan adalah kewujudan arus elektrojet berlawanan. Selain itu, keputusan kajian turut mendapati bahawa
suar suria tersebut berlaku pada fasa pemulihan ribut geomagnet semasa soltis Jun dalam fasa suria menaik.