Perbukitan batu kapur di Lembah Kinta membentuk landskap muka bumi yang unik dan indah hasil daripada proses pelarutan batuan karbonat. Namun begitu, bergantung kepada kawasan perbukitan batu kapur tersebut, kehadiran pelbagai struktur geologi seperti struktur retakan dan kekar yang ekstensif mampu memberi ancaman kepada manusia dan harta benda. Kajian ini bertujuan melihat hubungan antara ketumpatan lineamen dan tahap kestabilan tujuh cerun gunung batu kapur di Lembah Kinta, Malaysia. Kajian ini terbahagi kepada dua peringkat, iaitu pemetaan ketumpatan lineamen dan penilaian kestabilan cerun dengan menggunakan kaedah Kekuatan Jasad Batuan (RMS). Sebanyak 599 lineamen rantau dikenal pasti dengan panjang keseluruhan lineamen mencapai 317 km. Seterusnya, peta ketumpatan lineamen yang dihasilkan dikelaskan kepada tiga kelas: Rendah (137.0-84.23) m, sederhana (84.22-46.83) m dan tinggi (46.82-0.0) m. Kaedah RMS yang dijalankan di lapangan pula adalah bertujuan bagi mengesahkan peta ketumpatan lineamen yang dihasilkan. Sebanyak dua belas stesen dinilai dengan tujuh parameter RMS iaitu kekuatan bahan batuan, tahap luluhawa, bukaan kekar, orientasi kekar, kelebaran kekar, ketakselanjaran dan aliran air bawah tanah. Setiap cerun yang dinilai dikelaskan kepada lima kumpulan daripada sangat lemah hingga sangat kuat. Skor RMS berdasarkan jumlah akhir setiap parameter yang dinilai. Hampir kesemua stesen yang dicerap berada pada kelas sederhana (Gunung Rapat, Datok, Kandu, Panjang, A, Tempurung) manakala hanya satu stesen (Gunung Lang) berada pada kelas lemah. Korelasi antara peta ketumpatan lineamen dan skor RMS menunjukkan korelasi yang baik dengan 73% ketepatan. Ini menunjukkan bahawa kestabilan cerun di Lembah Kinta dipengaruhi secara langsung oleh ketumpatan lineamen rantau.