Abstract

Lembangan Tuba adalah satu endapan aluvium yang terletak di antara perbukitan granit di bahagian barat Pulau Tuba dan tanah tinggi batuan sedimen Formasi Setul di bahagian barat. Lembangan ini menganjur timur laut ke arah barat daya sepanjang hampir 3 km dan mempunyai kelebaran sejauh 2 km. Satu survei geofizik permukaan menggunakan teknik geoelektrik telah dilakukan untuk mengkaji struktur subpermukaan dan mengesan kehadiran sebarang akuifer serta jenis nya dalam lembangan ini. Di samping itu, kepekatan unsur-unsur dalam air tanah juga dianalisis untuk melihat kebarangkalian berlakunya intrusi air laut ke dalam akuifer pantai. Sebanyak 22 stesen telah dipilih secara rawak di
seluruh kawasan kajian untuk dilakukan survei geoelektrik duga-dalam. Sementara itu air bawah tanah telah diambil dari 11 telaga untuk analisis kimia di makmal. Hasil analisis mendapati semua sampel air perigi ini adalah berjenis air tawar. Profil keberintangan pada arah timur laut - barat daya yang menganjur dari Teluk Berembang hingga Teluk Bujur mempunyai nilai keberintangan yang berkisar di antara 4 Ωm sehingga infiniti. Lapisan teratas yang mempunyai ketebalan sekitar 1-3 meter dan berkeberintangan 4 -12 Ωm ditafsirkan sebagai lempung manakala lapisan di bawahnya
yang berketebalan 10 hingga 50 meter dengan nilai keberintangan 2 - 480 Ωm ditafsirkan sebagai bahan berpasir dengan air tawar atau pasir berair payau. Keberintangan berjulat ribuan ohm.m hingga infiniti dianggap mewakili batuan dasar granit dan batu kapur. Kedalaman maksimum yang dicapai oleh survei keberintangan ialah sekitar 70 m.