Abstract

Satu survei jenis keberintangan elektrik menegak (VES) untuk menyiasat pergerakan bahan larut resap telah dijalankan di kawasan tapak pelupusan sampah Dengkil Selangor. Tapak pelupusan ini mempunyai keluasan sekitar 4.05 hektar. Kaedah VES yang digunakan adalah merupakan salah satu teknik survei geofizik untuk menyiasat sifat keberintangan bahan dengan kedalaman subpermukaan. Kaedah ini juga merupakan kaedah geofizik yang sering kali digunakan dalam pencarigalian air bawah tanah. Tujuan kajian ini ialah untuk menyiasat sejauh manakah air larut resap dari himpunan sampah berhampiran masuk ke dalam tanah di kawasan sekitar. Dalam teknik ini, jarak antara elektrod arus dan elektrod keupayaan ditambah secara progresif, di mana aliran arus yang melintasi elektrod keupayaan membawa sebahagian arus kembali ke permukaan selepas mencapai aras-aras yang lebih dalam. Dalam kajian ini, elektrod disusun mengikut susunatur Schlumberger dan alat ABEM SAS 300C digunakan untuk menghitung keberintangan di sekeliling tapak perlupusan sampah Dengkil. Jarak elektrod arus bermula dari 2.0 m dan dibesarkan hingga 62.3 m manakala jarak elektrod keupayaan dibesarkan dari 0.3 m hingga 3.0 m. Kawasan kajian terdiri daripada batuan lodak, lempung dan rijang dari Formasi Bukit Kenny. Dalam kajian ini, keadaan bawah permukaan telah dicirikan dan penafsiran dibuat berdasarkan maklumat litologi dari lubang gerudi yang berhampiran. Dengan menggunakan perisian RESIX, data lapangan telah ditafsirkan dan dimodelkan. Berdasarkan kajian makmal oleh pengkaji terdahulu, tanah yang dicemari oleh bahan larut resap sebanyak 20% akan memberikan bacaan keberintangan sebesar 30 Ωm manakala tanah yang tidak dicemari akan menunjukkan keberintangan sebesar lebih dari 60 Ωm. Bahan larut resap telah dikesan menjerap ke dalam bumi sehingga 10 m. Didapati bahan larut resap telah mengalir jauh daripada 120 m ke timur dan 180 m jauh ke utara dari tapak pelupusan sampah.