Abstract

Satu kajian menggunakan kaedah pengimejan elektrik dan georadar telah dijalankan di Taman Hill View, Ampang, Selangor yang telah mengalami kejadian tanah runtuh. Gelinciran ini adalah susulan daripada tiga kejadian tanah runtuh yang berlaku di sekitar kawasan Hulu Klang, Selangor terutamanya di sekitar Bukit Antarabangsa. Tujuan kajian adalah untuk mengenal pasti ciri-ciri bahan runtuhan dan kedalaman batuan dasar melalui survei pengimejan elektrik serta pencirian kawasan rekahan, retakan dan zon lemah melalui survei georadar. Survei dilakukan berhampiran dengan lubang-lubang gerudi di sepanjang beberapa teres potongan cerun. Jarak elektrod yang digunakan ialah 2.0-2.5m. Berdasarkan jumlah elektrod yang digunakan ialah 41, ini bermakna jarak maksimum elektrod arus ialah 80-100m dan kedalaman maksimum yang diukur ialah 20 hingga 25 m. Kaedah Radar Penusukan Bumi pula menggunakan gelombang elektromagnet berfrekuensi 100 MHz. Model keberintangan elektrik menunjukkan profil luluhawa batuan granit dengan julat keberintangan antara 2 hingga 7000 Ωm. Pola atau zon keberintangan rendah yang berada di antara zon keberintangan tinggi ditafsirkan mewakili rekahan dan sesar dalam batuan granit yang mengalami luluhawa dan berkemungkinan berisi air pada kedalaman 4 hingga 5 m. Keratan rentas keberintangan menunjukkan kedudukan kawasan rekahan, retakan dan zon lemah tersebut. Keratan rentas yang diperolehi hasil survei radar penusukan bumi
juga membuktikan dengan lebih jelas akan kehadiran sesar dan retakan yang terdapat dalam zon luluhawa batuan granit di kawasan kajian melalui kewujudan anjakan-anjakan pemantul dan ciri-ciri pemantul yang terputus.