Kajian pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) subjek tunggal ini menyelidiki interaksi psikofisiologi (PPI) antara girus presentral (PCG) dan lobus parietal superior (SPL) kanan semasa tepikan jari rentak sendiri secara bilateral. Model kehubungan efektif antara PCG dan SPL kanan dibina menggunakan analisis PPI dengan mengambil daya dan laju tepikan sebagai faktor uji kaji. Keputusan menunjukkan bahawa peningkatan daya dan laju tepikan masing-masing mengaktifkan PCG bilateral dan SPL kanan secara bererti (p<0.05). PCG dan SPL kanan didapati saling berhubungan semasa tepikan jari dilakukan dengan daya dan laju tepikan sebagai faktor uji kaji yang mempengaruhi kehubungan efektif antara mereka. Kajian ini telah mendedahkan maklumat asas berguna untuk kajian fMRI pada masa depan ke atas koordinasi motor dan boleh digunakan untuk mengkaji ketaktertiban otak misalnya strok.