Sains Malaysiana, 2012;41:1605-1612.

Abstract

Kaedah unsur terhingga (FEM) berdasarkan pemodelan dan simulasi proses pemotongan telah menarik minat ramai penyelidik secara berterusan untuk mengkaji lebih mendalam terutamanya mengenai penjanaan daya dan suhu di dalam zon pemotongan yang sebelum ini tegasan tidak boleh diukur secara langsung. Dalam kajian ini, simulasi proses pemotongan ortogon besi tuang mulur (FCD 500) menggunakan mata pemotong karbida pada pelbagai keadaan angin sejuk telah dikaji. Perisian DEFORM digunakan untuk menjalankan simulasi proses pemotongan ortogon dengan laju pemotongan (100-300 m/min), kadar suapan (0.15-0.35 mm/pus), kedalaman pemotongan (0.2-0.8 mm) dan suhu angin sejuk (2o -25oC). Mata pemotong mempunyai jejari hidung mata pemotong 0.4 mm, sudut sadak, α =5o dan sudut kelegaan, β = 7o. Reka bentuk uji kaji adalah menggunakan kaedah Taguchi dalam tatasusunan ortogon L9, nisbah S/N dan analisis Pareto ANOVA digunakan untuk menganalisis kesan parameter pemotongan terhadap hasil pemesinan iaitu daya, tegasan dan suhu semasa pemesinan. Keputusan menunjukkan kadar suapan memberikan pengaruh yang paling tinggi (96.12%) terhadap daya pemotongan. Tegasan pemotongan paling dipengaruhi oleh kadar suapan iaitu 78.87%. Kajian ini telah membuktikan, banyak masa, kos dan tenaga dapat dijimatkan dalam mengkaji kebolehmesinan sesuatu bahan secara simulasi berbanding dengan kaedah eksperimen, di samping keputusan yang tepat diperoleh.