Sains Malaysiana, 2018;47:1039-1043.

Abstract

Kajian mengenai grafin kini semakin meluas disebabkan sifat kebolehaliran terma yang mampu meningkatkan potensi
bahan komposit. Penambahan grafin dalam matriks kuprum dikaji dengan menggunakan gabungan bahan pengikat
iaitu polietilena glikol (PEG), polimetil metakrilat (PMMA) dan asid stearik. Penggunaan grafin sebagai bahan pengisi
dalam matriks kuprum merupakan pendekatan baru yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehaliran terma produk
yang dihasilkan. Namun, penambahan grafin dalam matriks kuprum boleh menyebabkan ketidaksamarataan zarah
komposit kerana penggumpalan zarah-zarah grafin. Oleh itu, kaedah sonikasi dan pengacauan magnetik semasa proses
pra-campuran digunakan bagi menghasilkan bahan suapan yang sebati dan penyerakan grafin yang lebih baik tanpa
penggumpalan. Suhu proses sonikasi telah ditetapkan pada 55˚C dengan masa sonikasi yang berbeza iaitu 30 minit, 60
minit dan 90 minit. Bagi proses pengacauan magnetik, parameter yang digunakan adalah 55˚C, selama 21 jam pada
kelajuan yang berbeza iaitu 300, 350 dan 400 rpm. Analisis imej Pancaran Medan Mikroskopi Elektron Pengimbasan
(FESEM) dan Pemetaan EDX telah dijalankan bagi mengkaji penyerakan grafin dalam komposit kuprum grafin. Keputusan
menunjukkan hasil yang lebih baik diperoleh selepas proses sonikasi dan pengacauan magnetik dijalankan. Penyerakan
terbaik yang lebih seragam dan sebati diperoleh pada masa sonikasi 60 min dan pengacauan magnetik pada kelajuan
sederhana iaitu 350 rpm. Zarah grafin didapati kurang bertumpu pada satu tempat dan penggumpalan semula juga
tidak berlaku. Penyerakan sebati ini menjadikan hubungan antara muka zarah-zarah grafin dan kuprum menjadi lebih
baik seterusnya mampu mengurangkan keliangan bagi penghasilan jasad akhir.