Abstract

Kesan penambahan pengisi sekam padi dan tanah liat ke dalam matriks getah asli getah asli cecair polietilena berketumpatan tinggi (NR/LNR/HDPE), NR/HDPE dan HDPE terhadap sifat mekanik dan morfologi adunan telah dikaji. Pemprosesan adunan dilakukan pada suhu 140°C dan kadar percampuran 50 r.p.m. selama 16 minit. Pra-pemanasan pengisi selama 4 minit pada suhu 80°C dilakukan sebelum pengadunan dengan matriks bagi meminimumkan kesan lembapan. Getah asli cecair digunakan sebagai agen pengserasi dalam adunan komposit. Pengisian sekam padi (SP) dan tanah liat (TL) dalam matrik HDPE, NR/HDPE serta NR/LNR/HDPE umumnya menurunkan nilai kekuatan tensil dan kekuatan hentaman tetapi meningkatkan nilai modulus. Kehomogenan adunan komposit berpengisi yang dikenal pasti melalui pemeriksaan morfologi menggunakan mikroskop imbasan elektron (SEM) menunjukkan masalah aglomerasi dan interaksi antara muka dalam komposit berlaku. Kelikatan leburan dan interaksi antara bahan menentukan arah pergerakan serta serakan pengisi dalam komposit. Daripada keputusan yang diperolehi dan merujuk kedua-dua sifat pengisi, SP adalah lebih serasi dengan NR disebabkan potensi interaksi antara kumpulan berfungsi permukaan pengisi selulosa (SP) seperti –OH dengan ikatan ganda dua NR berbanding TL. Ciri fizik permukaan TL yang kurang bersifat hidrofilik berbanding SP pula menyebabkan TL lebih cenderung berinteraksi dan tersebar dengan baik dalam HDPE.