Adunan polietilena berketumpatan rendah (LDPE)/getah asli cecair (LNR) dalam komposisi 100LDPE/0LNR, 70LDPE/30LNR, 60LDPE/40LNR dan 40LDPE/60LNR telah dihasilkan melalui penyebaran emulsi LDPE dan LNR.. LNR diperolehi melalui tindak balas pemekaan fotokimia ke atas getah asli (NR) dan emulsi LNR disediakan dengan menggunakan natrium dodesil sulfat (SDS) sebagai agen pengemulsi dan 1-heksanol sebagai ko-pengemulsi. Emulsi LDPE dihasilkan dengan cara yang sama menggunakan larutan LDPE dalam karbon tetraklorida, SDS dan 1-heksanol. Adunan LDPE/LNR disediakan melalui pencampuran emulsi LNR dan LDPE. Sifat mekanik adunan LDPE/LNR dianalisis melalui ujian regangan, hentaman dan kekerasan. Sifat mekanik optimum diperhatikan bagi adunan dengan komposisi 60LDPE/40LNR yang memberi nilai tegasan dan terikan yang maksimum. Suhu peralihan kaca, Tg, seperti yang diperolehi daripada analisis kalorimetri imbasan pembezaan (DSC) menunjukkan adunan yang dihasilkan adalah homogen. Kajian morfologi yang dilakukan dengan menggunakan mikroskop imbasan elektron (SEM) juga menunjukkan kehomogenan adunan yang dihasilkan.