Sains Malaysiana, 2018;47:829-838.

Abstract

Serabut kenaf merupakan salah satu serabut berasaskan tumbuhan di dalam kumpulan serabut asli yang semakin luas
penggunaannya. Serabut kenaf dicampurkan dengan bahan plastik (epoksi) bagi menghasilkan suatu bahan baharu
dengan sifat mekanikal yang baik dengan kos pembuatan yang rendah. Bahan kerja ini terbahagi kepada dua jenis iaitu
serabut kenaf ekaarah dan serabut kenaf tenunan. Uji kaji ini akan menumpukan kepada pembandingan kesan faktor
pelekangan Fd yang terhasil semasa proses pemesinan kisar ke atas bahan komposit tersebut dengan penentuan set
parameter mesin yang paling optimum bagi mengurangkan kesan Fd. Uji kaji dijalankan berdasarkan analisis kaedah
gerak balas permukaan (RSM) dengan pendekatan reka bentuk Box-Behnken bagi mendapatkan hasil faktor bersandar
terhadap sambutan. Faktor yang terlibat adalah kelajuan pemotongan, kadar suapan dan kedalaman pemotongan. Proses
pengisaran secara lelurus (lurah) dilakukan bagi melihat kesan Fd yang terhasil dengan menggunakan perkakasan mata
alat jenis Keluli Berkelajuan Tinggi (HSS) tidak bersalut hujung rata berdiameter 10 mm. Imej daripada mikroskop
menunjukkan bahan komposit serabut kenaf ekaarah menghasilkan faktor pelekangan yang tinggi berbanding kesan
ke atas bahan komposit serabut kenaf bertenun. Bagi set parameter optimum pula, bahan kerja serabut kenaf ekaarah
ialah kelajuan pemotongan, kadar suapan dan kedalaman pemotongan yang rendah. Manakala bagi bahan kerja serabut
kenaf bertenun, set parameter optimum adalah kelajuan pemotongan yang rendah dengan kadar suapan dan kedalaman
pemotongan yang tinggi.