Kesan suhu pensinteran terhadap sifat mekanik dan mikrostruktur bahan komposit alumina-zirkonia telah dikaji. Jasad
hijau alumina-zirkonia difabrikasi dengan menggunakan kaedah pengacuan suntikan seramik menggunakan sistem
bahan pengikat pelbagai komponen. Jasad perang yang terhasil selepas proses penyahikatan disinter pada suhu 1400,
1450, 1500, 1550, 1600 dan 1650°C selama 2 jam. Selanjutnya nilai ketumpatan, kekerasan dan keliatan patah bagi
jasad tersinter diukur. Mikrostruktur jasad tersinter ditentukan dengan menggunakan mikroskop imbasan elektron
(SEM). Kajian menunjukkan nilai ketumpatan, kekerasan dan keliatan patah bagi jasad tersinter meningkat sejajar
dengan peningkatan suhu pensinteran. Hasil uji kaji juga mendapati pada suhu pensinteran 1650°C sifat mekanik bahan
mencapai keadaan maksimum. Penumpatan jasad tersinter 98% menghampiri ketumpatan teori dengan nilai kekerasan
16.9 GPa dan keliatan patah mencecah 3.95 MPa.m1/2. Keputusan tersebut dapat dikaitkan dengan mikrostruktur bahan
yang padat didorong oleh tumbesaran ira yang lengkap.