Sains Malaysiana, 2016;45:459-465.

Abstract

Kertas kajian ini membincangkan kesan suhu pensinteran ke atas prestasi elektrokimia katod komposit sel bahan api oksida pepejal LSCF-SDCC. Katod komposit LSCD-SDCC disediakan dengan nisbah berat 50:50 dan dihasilkan melalui kaedah pengedapan elektroforetik (EPD). Kaedah EPD dijalankan ke atas kedua belah sisi substrat SDCC untuk menghasilkan sel simetri. Sel simetri yang terhasil adalah menggunakan suhu sinter yang berbeza (550°C hingga 750°C) sebelum analisis ke atas mikrostruktur dan ujian prestasi elektrokimia dijalankan. Kesan suhu sinter ke atas keliangan permukaan dikaji menggunakan analisis spektrometer serakan tenaga sinar-X, mikroskop elektron imbasan pancaran medan dan J-image. Kemudian, hubungan antara rintangan pengutuban, Rp dengan suhu sinter diukur menggunakan spektroskop elektrokimia impedans. LSCF-SDCC yang telah disinter pada suhu 600°C memberikan nilai Rp terendah iaitu 0.68 Ω pada suhu operasi 650°C. Kajian ini mencadangkan bahawa suhu sinter antara julat 550-650°C sebagai suhu pensinteran terbaik untuk menghasilkan katod komposit LSCF-SDCC berprestasi tinggi.