Sains Malaysiana, 2016;45:977-987.

Abstract

Pemprosesan logam separa pepejal yang juga dikenali sebagai pembentukan-tikso merupakan suatu kaedah pemprosesan
yang secara relatifnya adalah baharu jika dibandingkan dengan kaedah pemprosesan biasa seperti penuangan dan
penempaan. Sebelum pembentukan-tikso dapat dilakukan, aloi berkenaan perlu melalui langkah awal persediaan iaitu
dengan mengubah mikrostruktur asal berbentuk dendritik kepada bentuk hampir sfera. Ini diikuti dengan pemanasan
semula ke julat suhu separa pejal (iaitu sekitar 30-50% cecair) dan seterusnya proses ubah bentuk ke dalam acuan
menggunakan mesin penekanan hidraulik. Antara kaedah utama yang biasa digunakan bagi penyediaan bahan aloi
ini adalah tuangan cerun penyejukan, pengadukan mekanik dan kaedah terma langsung. Kajian ini memberi tumpuan
kepada evolusi mikrostruktur aloi aluminium A333 (Al-7.5Si-3.1Cu) daripada bentuk dendritik kepada hampir sfera
sebagai persediaan untuk diproses melalui pembentukan-tikso kelak. Kaedah tuangan cerun penyejukan digunakan
dalam kajian ini kerana kaedah ini diketahui berkesan tapi mudah digunakan. Nilai saiz ira dan faktor bentuk dianalisis
berdasarkan kepada suhu tuangan dan panjang cerun penyejukan berbeza yang digunakan. Di samping itu, kaedah
kalometri pengimbas perbezaan juga diguna pakai dalam mengenal pasti suhu sempadan pepejal dan sempadan cecair
aloi ini. Saiz ira fasa pepejal α-Al paling kecil dan nilai faktor bentuk terbaik yang diperoleh dalam kajian ini berlaku
pada suhu tuangan 620°C dan panjang cerun 300 mm, iaitu masing-masing pada 15.3 µm dan 0.54.