Sains Malaysiana, 2012;41:983-991.

Abstract

Proses pengeringan adalah proses akhir dalam penghasilan gelatin. Kaedah tradisi yang diaplikasi dalam industri adalah lebih rumit berbanding dengan kaedah pengering sembur. Serbuk gelatin dapat diperoleh dengan proses pengering sembur, tetapi jarang digunakan kerana dikhuatiri kualiti gelatin yang terhasil akan terjejas disebabkan proses degradasi
protein. Objektif kajian ini adalah mendapatkan keadaan optimum penghasilan serbuk gelatin dengan menggunakan kaedah sambutan permukaan (RSM). Gelatin komersial jenis B (berkekuatan gel dalam julat 151-160) diperbuat daripada tulang lembu dan pengering sembur skala pandu digunakan dalam kajian ini. Pemboleh ubah tak bersandar yang
diambil kira ialah kepekatan suapan larutan gelatin (6%(w/w) – 15%(w/w)) dan suhu pengoperasian (150oC-170oC). Pemboleh ubah bersandar yang diambil kira ialah peratus penghasilan, kandungan lembapan dan kekuatan gel serbuk gelatin. Keputusan uji kaji menunjukkan bahawa perbezaan kepekatan larutan suapan dan suhu masukan memberi
kesan kepada ketiga-tiga sambutan tersebut di atas dengan faktor kepekatan larutan suapan adalah faktor utama yang memberi kesan kepada peratus penghasilan serbuk gelatin. Semakin tinggi kepekatan suapan, semakin berkurang peratus penghasilan. Serbuk gelatin yang dihasilkan mempunyai kekuatan Bloom di antara 149 – 173 dan ia tidak jauh berbeza
dengan kekuatan Bloom gelatin komersial yang digunakan. Keadaan optimum yang diperoleh daripada analisis RSM ialah kepekatan suapan 9.23% (w/w) dan suhu masukan 170oC dengan penghasilan serbuk gelatin yang diperoleh ialah 22.15% dengan kandungan lembapan 3.81% dan kekuatan gel 168.5. Sisihan nilai daripada nilai ramalan ialah 0.09%
bagi peratus penghasilan, 3.05% bagi kandungan lembapan dan 0.78% bagi kekuatan gel.