Sains Malaysiana, 2012;41:11-21.

Abstract

Kajian ini dijalankan di kawasan tanih ultrabes di Felda Rokan Barat (FRB), Negeri Sembilan. Sebanyak dua puluh sampel cili, kunyit, pandan dan serai serta substratnya telah diambil secara rawak untuk penentuan kandungan logam berat Fe, Cd, Co, Cu, Mn, Ni, Pb, Cr dan Zn. Kandungan logam berat dalam tumbuhan diekstrak secara penghadaman basah, manakala kandungan logam berat resistan dan tersedia dalam tanih diekstrak dengan kaedah pengekstrakan berjujukan. Kandungan logam berat jumlah diperoleh dengan menjumlahkan kandungan logam berat rintang dan tersedia. Kandungan logam berat di dalam larutan ekstrak tanih dan tumbuhan ditentukan dengan menggunakan Spektrofotometer Penyerapan Atom Nyalaan (FAAS). Hasil kajian menunjukkan logam Fe adalah dominan di dalam tanih di kawasan kajian manakala kepekatan logam Cd paling rendah dengan nilai < 10 mg/kg. Sela kepekatan logam-logam berat dalam tanih ialah Fe (2618.4 hingga 4248 mg/kg), Mn (240.9 hingga 741.9 mg/kg), Zn (81.9 hingga 324.8 mg/kg), Cr (46.8 hingga 438.7 mg/kg), Cu (15.7 hingga 81.7 mg/kg), Pb (14.9 hingga 116.8 mg/kg), Ni (10.1 hingga 545.6 mg/kg), Cd (5.6 hingga 10.6 mg/kg) dan Co (0.8 hingga 126.1 mg/kg). Nilai kepekatan Fe tersedia mencatatkan nilai tertinggi bagi semua substrat tumbuhan, diikuti oleh Mn, Zn, Pb, Ni, Cr, Cu, Co dan Cd. Berdasarkan peratusan tersedia Mn, Pb dan Zn merupakan logam berat yang paling banyak tersedia diambil oleh tumbuhan dengan nilai 8 hingga 10%. Kepekatan Fe, Mn, Ni dan Zn menunjukkan purata kepekatan yang tinggi pada bahagian tumbuhan yang dikaji berbanding dengan logam lain. Nilai koefisien penyerapan biologi (BAC) bagi cili, kunyit, pandan dan serai masing-masing dalam julat 0.02-0.36, 0.03-0.41, 0.03-0.63 dan 0.03-1.15. Boleh disimpulkan bahawa penyerapan logam berat oleh tumbuhan adalah normal walaupun kepekatan logam berat dalam tanih ultrabes adalah tinggi.