Kajian ini adalah mengenai peranan sterol sebagai penunjuk bio-lipid untuk mengenal pasti variasi dan sumber bahan organik yang hadir bersama sedimen permukaan dari Kuala Selangor, Selangor. Kajian melibatkan kaedah pengekstrakan sterol daripada sampel sedimen dan seterusnya dianalisis menggunakan GC-MS untuk menentukan kehadiran sebatian tersebut. Sepuluh sebatian sterol dikenal pasti hadir dengan fitosterol merupakan sebatian dominan di kawasan kajian iaitu 79% daripada jumlah keseluruhan sterol. Ini diikuti oleh kolesterol serta sterol kumbahan masing-masing menyumbangkan 6% daripada jumlah keseluruhan sterol manakala selebihnya berada dalam julat 1-5%. Indeks Sumber Sterol (SSI) juga menunjukkan kandungan fitosterol yang tinggi walaupun hadir pada kadar yang berbeza di setiap stesen pensampelan. Penilaian pencemaran kumbahan menggunakan nisbah koprostanol/kolesterol, koprostanol/(koprostanol+kholestanol) serta epikoprostanol/koprostanol menunjukkan kawasan kajian tidak mengalami pencemaran kumbahan walaupun sterol daripada sumber kumbahan hadir di persekitarannya. Kesimpulannya sedimen permukaan di Kuala Selangor, Selangor mengandungi campuran sterol daripada pelbagai sumber yang hadir di persekitarannya dengan didominasi oleh fitosterol yang berasal daripada tumbuhan terestrial.
This study explores the role of sterols as lipid biomarkers to indicate their input which originates from various sources in the marine environment. Sterols and their ratios were investigated in sediments taken from sixteen sampling stations at Pulau Tinggi, Johor in order to assess the sources of organic matter. The compounds extracted from the sediments were quantified using a gas chromatography-mass spectrometry (GC-MS). The distributions of sterols indicated that organic matter at all sampling stations originated from a mixture of marine source and terrestrial origins at different proportions. A total of eleven sterols were quantified, with the major compounds being phytosterols (44% of total sterols), cholesterol (11%), brassicasterol (11%) and fecal sterols (12%).
Kandungan alkohol lemak di dalam 19 sampel sedimen permukaan di Sungai Sepang Besar, Sepang, Selangor telah dianalisis menggunakan kromatografi gas-spektrometer jisim (GC-MS). Sebanyak 19 sebatian alkohol lemak dengan julat kepekatan 0.02 μg/g – 9.01 μg/g berat kering dikenalpasti yang terdiri daripada alkohol lemak C12 sehingga C30 termasuk 4 sebatian bercabang. Alkohol lemak C26 mendominasi kebanyakan stesen persampelan dengan julat 0.29 – 5.43 μg/g berat kering, iaitu 15.5% daripada jumlah alkohol lemak. Berdasarkan kepekatan individu sebatian alkohol lemak dan nisbah [Σ(C12 - C20)/Σ(C22 - C30)], Sungai Sepang Besar boleh dikatakan mengandungi alkohol lemak berantai pendek (C12 - C20) yang tinggi berasal daripada organisma marin. Walau bagaimanapun, nilai Indeks Sumber Alkohol (ASI) tidak menunjukkan Sungai Sepang Besar didominasi oleh alkohol lemak rantai pendek kerana faktor kandungan sebatian C26 yang tinggi di kebanyakan stesen persampelan. Nilai nisbah alkohol lemak (rantai ganjil)/(rantai genap) adalah tinggi bagi hampir kesemua stesen persampelan yang dipengaruhi oleh aktiviti bakteria yang tinggi. Dengan itu dapat disimpulkan bahawa sedimen permukaan Sungai Sepang Besar mengandungi campuran bahan organik yang berasal dari marin, terestrial dan bakteria.
Kandungan sebatian alkohol lemak di dalam tujuh sampel sedimen permukaan dari muara Sungai Kapar, Selangor telah dikenal pasti menggunakan gas kromatografi-spektrometri jisim (GC-MS) dan hasilnya menunjukkan wujudnya 13 sebatian alkohol lemak (C12- C24) termasuk enam sebatian bercabang (-iso dan -anteiso) hadir. Secara keseluruhannya, sampel yang dikaji terdiri daripada 65% alkohol lemak rantai pendek (C12- C20) yang dihasilkan oleh organisma marin manakala 14% adalah alkohol lemak rantai panjang (C21- C24) yang berpunca daripada tumbuhan terestrial dan selebihnya merupakan sebatian bercabang yang dihasilkan oleh proses metabolisme bakteria. Sebatian C16 mendominasi kesemua stesen pensampelan dengan julat kepekatan 29.69-164.35 μgg-1 berat kering iaitu 32% daripada jumlah keseluruhan alkohol lemak. Nisbah antara alkohol lemak rantai pendek dan rantai panjang [Σ(C12- C20)/Σ(C21- C22)] bagi setiap stesen pensampelan memberikan nilai >1, menunjukkan kandungan alkohol lemak rantai pendek sumber marin adalah lebih tinggi daripada kandungan alkohol lemak rantai panjang. Indeks Sumber Alkohol (ASI) pula diguna untuk menganggar kesan input alkohol lemak terestrial ke dalam sedimen marin berdasarkan nisbah alkohol lemak C22/C14 menunjukkan stesen Kp1, Kp2, Kp5 dan Kp6 mempunyai nilai >1; iaitu kandungan C22 adalah lebih tinggi berbanding C14. Walau bagaimanapun, nisbah C22/C16 memberikan hasil yang sebaliknya dengan kesemua stesen didominasi oleh C16 berbanding C22. Kajian ini menunjukkan alkohol lemak (C12- C20) terutamanya sebatian C16 mendominasi kawasan muara Sungai Kapar, Selangor berbanding alkohol lemak rantai panjang (C21- C24).