Abstract

Lempung kaolin adalah sejenis sumber mineral sekunder yang dihasilkan oleh proses luluhawa mineral-mineral primer. Komponen utamanya ialah kaolinit bersaiz halus (<2μm) dan ia melimpah dengan sebatian filosilikat serta unsur lain seperti aluminium dan ferum yang membentuk pigmen. Kaolin berwarna putih susu jika mengandungi banyak komponen aluminium serta sifat keplastikannya yang rendah, seringkali digunakan dalam industri seramik, plastik, cat, kertas, pestisid, farmakologi dan kosmetik. Pencirian sifat fizik dan kimia kaolin adalah penting dalam penentuan potensi kegunaannya. Dalam kajian ini, sampel telah diambil secara penggerudian tangan sedalam 1-2 meter dari 25 lokasi di kawasan Buloh Kasap, Segamat, Johor, Malaysia. Analisis kimia telah dijalankan untuk menentukan kandungan oksida dan mineral dengan teknik pembelauan sinar-X dan pendafluoran sinar-X. Sampel kaolin juga diuji secara fizikal untuk menentukan kadar pengecutan, modulus patah dan kadar penyerapan air di samping, had plastik dan cecair serta indeks keplastikan. Kaolin Segamat mempunyai komposisi silikat yang tinggi dan berwarna cerah. Kandungan mineral terbanyak ialah kaolinit di samping kuarza sebagai bendasing. Kadar pengecutan yang rendah menunjukkan sampel kaolin adalah padat dan kurang rongga serta sesuai sebagai bahan seramik di samping tahan kepada haba yang tinggi. Kaolin ini juga mempunyai kadar penjerapan air dan keplastikan yang rendah serta kuat berdasarkan ujian modulus kekuatan patah.