Sains Malaysiana, 2013;42:743-751.

Abstract

Satu kajian kualiti air yang melibatkan pengukuran parameter seperti oksigen terlarut (DO), pH, permintaan oksigen biokimia (BOD), permintaan oksigen kimia (COD), jumlah pepejal terampai (TSS) dan nutrien terlarut telah dijalankan di lembangan Sungai Marang bermula dari bulan Julai-September 2001. Lapan stesen pensampelan telah dipilih yang merangkumi sungai utama dan cabangannya. Hasil kajian menunjukkan julat nilai untuk DO, pH, BOD, COD dan TSS masing-masing ialah 3.5-7.5 mg/L, 5.9-8.2, 0.4-1.3 mg/L, 4.0-50.2 mg/L dan 0.3-20.4 mg/L. Kepekatan ortofosfat, jumlah fosfat terlarut, nitrit, nitrat, ammonia dan jumlah nitrogen terlarut masing-masing adalah dalam julat 27-62 μg P/L, 55-105 μg P/L, 0.5-4.1 μg N/L, 65-426 μg N/L, 16-161 μg N/L dan 128-787 μg N/L. Julat kepekatan klorofil-a pula ialah 4.06-7.75 μg/L. Kajian menunjukkan taburan nutrien dipengaruhi oleh kesan antropogenik. Berdasarkan kepada Piawai Interim Kualiti Air Kebangsaan, kebanyakan kepekatan nutrien boleh dikelaskan dalam Kelas I dan II. Mengikut indeks kualiti air Jabatan Alam Sekitar, Sungai Marang berada dalam Kelas I dengan status bersih.