Abstract

Peningkatan aktiviti perbandaran dan perindustrian telah mencetuskan masalah pengurusan sisa pepejal. Sebagai usaha penyelesaian, pendekatan bersepadu telah dipilih bagi menguruskan sisa pepejal. Membangunkan dan melaksanakan rancangan pengurusan sisa pepejal bersepadu perlu melibatkan gabungan teknologi dan pilihan yang sesuai dengan keadaan dan undang-undang tempatan. Kajian ini menunjukkan Proses Analisis Hierarki (PAH) berpotensi sebagai kaedah membuat keputusan yang boleh digunakan dalam proses pemilihan teknologi pengurusan sisa pepejal. Tiga aras hierarki dibangunkan dengan matlamat di aras tertinggi, diikuti oleh kriteria dan alternatif. Dengan menggunakan teknik ini, penentuan keutamaan untuk semua teknologi pengurusan sisa pepejal yang dipertimbangkan akan ditentukan dan teknologi dengan nilai keutamaan tertinggi lebih sesuai untuk dibangunkan. Analisis sensitiviti dilakukan bagi menguji sensitiviti keputusan akhir terhadap perubahan kecil penilaian. Aplikasi PAH dalam menentukan keutamaan proses pemilihan teknologi pengurusan sisa pepejal diperjelaskan dalam kajian ini berdasarkan kepada kajian kes di Majlis Perbandaran Port Dickson. Hasil analisis menunjukkan kombinasi teknologi kitar semula dan pengkomposan sesuai diaplikasikan di daerah Port Dickson.