Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menentukan jenis bakteria yang hadir di dalam air sisa kumbahan yang dapat membantu menghasilkan tenaga elektrik dan pada masa yang sama dapat menyingkirkan kandungan karbon dan nitrogen. Kaedah pengesanan kumpulan bakteria yang digunakan adalah teknik penghibridan in situ berpendarfluor (FISH) manakala kaedah tindak balas berantai polimerase (PCR) untuk mengenalpasti bakteria tersebut. Penentuan ciri biokimia menggunakan BIOLOG GEN III MICROPLATE™ turut digunakan. Bakteria yang didapati daripada air sisa dikultur dan ditulenkan di atas agar zat makanan untuk menentukan ciri-ciri morfologi koloni bakteria tersebut. Berdasarkan pencirian koloni dan pewarnaan Gram, sebanyak 21 pencilan telah diperolehi daripada tiga lokasi sampel air sisa kumbahan daripada loji rawatan enap cemar teraktif (enam koloni air sisa mentah; sebelas koloni tangki pengudaraan; empat koloni tangki kitaran enap cemar teraktif). Penentuan awal daripada ketiga-tiga kaedah yang dijalankan tidak dapat memberikan padanan yang tepat dengan hanya mencatatkan kehadiran bakteria pengoksida ammonia (FISH) dan Kurthia Gibsoni (BIOLOG) di dalam sampel tangki pengudaraan; bakteria Bacillus sp (PCR) dan Bacillus Pseudomycoides (BIOLOG) di dalam sampel kitaran enap cemar teraktif. Ketumpatan kuasa maksimum yang diperoleh daripada sampel kitaran enap cemar teraktif adalah 9.053 mW/cm2 dengan tahap penyingkiran COD dan jumlah nitrogen adalah (TKN) masing-masing 26.8% dan 40%.