Abstract

Pengeluaran produk elektronik merupakan salah satu industri yang berkembang pesat di dunia pada masa kini. Peningkatan jumlah penggunaan plastik oleh sektor tersebut menjadi faktor kepada penghasilan sisa plastik elektronik. Bahan plastik elektronik kebiasaannya mengandungi pelbagai unsur kimia bagi membolehkannya bertindak sebagai perintang pemanasan semasa alat elektronik beroperasi. Umumnya, pendekatan terhadap konsep mengitar semula sisa plastik elektronik perlu diketengahkan bagi memelihara alam sekitar. Bagi tujuan tersebut, kajian dijalankan terhadap sisa plastik elektronik yang terdiri daripada pelbagai damar bagi mengenal pasti potensinya sebagai sumber kepada penghasilan tenaga dan bahan mentah. Kajian dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penentuan ciri fizikal dan kimia damar plastik dan pengiraan nilai pemanasan damar plastik berdasarkan formula Dulong. Hasil kajian mendapati nilai purata pemanasan sisa elektronik adalah sebanyak 30,872.42 kJ/kg (7,375 kcal/kg) manakala analisis faktor pancaran pula mendapati secara keseluruhannya kepekatan nilai pancaran yang berkemungkinan terhasil akibat daripada pelbagai aktiviti pengurusan adalah kurang daripada had-had parameter yang telah ditetapkan oleh Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Secara asasnya, kajian ini berjaya membuktikan potensi sisa plastik elektronik sebagai salah satu sumber kepada penghasilan bahan mentah dan juga penghasilan tenaga.