Sains Malaysiana, 2015;44:1229-1239.

Abstract

Kedatangan spesies burung hijrah ke Hutan Paya Laut Matang, Perak merupakan suatu fenomena unik dan amat berpotensi untuk dikomersialkan. Namun begitu sejak sepuluh tahun kebelakangan ini kedatangan spesies burung hijrah ke kawasan ini mencatatkan penurunan yang membimbangkan. Pembangunan di sekitar kawasan Hutan Paya Laut Matang dikenal pasti menjadi faktor utama penurunan ini. Selain itu, pengurusan dan pemantauan terhadap spesies burung hijrah yang tidak bersistematik juga menyumbang kepada permasalahan ini. Kaedah pengurusan dan pemantauan burung hijrah secara konvensional masih diamalkan oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam merekod data dan maklumat yang diperoleh. Oleh itu kajian ini dilakukan dengan memperkenalkan pendekatan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Penderiaan Jauh sebagai aplikasi utama yang dapat membantu dalam memperbaiki pengurusan dan pemantauan burung hijrah. Aplikasi GIS digunakan dalam memetakan data parameter kajian yang diperoleh menggunakan perisian yang bersesuaian iaitu ArcGIS 10.1 dan Penderiaan Jauh digunakan untuk memodelkan parameter kajian menggunakan aplikasi dalam perisian ERDAS Imagine 8.5. Sebanyak enam parameter kajian digunakan dalam kajian ini iaitu suhu, taburan hujan, makanan, ketinggian, gunatanah dan liputan tanah. Pemodelan setiap parameter kajian ini membolehkan kesan setiap parameter kajian terhadap taburan burung hijrah dalam suatu kawasan ditunjukkan dalam bentuk pemetaan. Hasil pemodelan ini juga membolehkan parameter yang terpenting dan paling mempengaruhi taburan burung hijrah bagi kawasan Hutan Paya Laut Matang dikenal pasti. Maklumat ini membolehkan DWNP lebih memahami keperluan burung hijrah dalam pemilihan habitat mereka. Selain itu, hasil pemodelan ini membantu DWNP dalam mengatur strategi pelaksanaan program pemeliharaan dan pemuliharaan di kawasan sekitar Hutan Paya Laut Matang bagi memastikan kedatangan spesies burung hijrah secara berterusan.