Sains Malaysiana, 2010;39:181-187.

Abstract

Sebahagian hujan akan diperangkap oleh lapisan kanopi pokok dan permukaan lain sebagai pintasan, sebelum tersejat kembali ke atmosfera. Air hujan menuruni kanopi hutan melalui dua mekanisme; aliran batang dan jatuhan langsung. Aliran batang merujuk kepada jumlah air hujan yang sampai ke permukaan tanah dengan menuruni batang pokok dan dahan. Manakala jatuhan langsung pula merujuk kepada jatuhan terus air hujan yang menembusi lapisan kanopi hutan melalui ruang-ruang antara daun dan menitis dari daun, cabang dan dahan pokok. Kedua-dua komponen ini dinilai menggunakan plot pintasan bersaiz 100 ×100 m2 di hutan sekunder Tasik Chini. Tiga puluh batang pokok telah digunakan dan setiap pokok dikenal pasti berdasarkan spesies, famili, diameter aras dada (DBH) saiz kanopi dan ketumpatan kanopi. Dalam kajian ini, data pintasan telah dikumpulkan pada dua kali kejadian hujan yang berlaku dalam bulan November 2007 (44.51% dalam bentuk jatuhan langsung dan 55.49% dalam bentuk aliran batang) dan taburan hujan dalam bulan Disember 2007 (39.65% dalam bentuk jatuhan langsung dan 60.35% dalam bentuk aliran batang). Kajian pintasan ini menghasilkan maklumat penting bagi kitaran hidrologi yang berlaku dalam ekosistem hutan, juga keseimbangan air tanah bencah.