Sains Malaysiana, 2017;46:421-428.

Abstract

Fenologi tumbuhan menggambarkan fasa kitaran hidup atau aktiviti tumbuhan dan adalah penting untuk memahami
interaksinya dengan iklim. Kajian dilakukan untuk mengenal pasti respons fenologi tumbuhan dan metrik fenologi
hutan dipterokarpa, kelapa sawit dan pokok getah menggunakan data indeks tumbuhan Enhanced Vegetation Index
(EVI) daripada MODIS-Aqua (produk MYD13Q1) dan purata hujan bulanan sepanjang tahun 2007 dan 2009 di negeri
Johor. Pola hujan pada tahun 2007 menunjukkan taburan hujan normal, manakala tahun 2009 mengalami kekurangan
hujan sepanjang tempoh sebelas tahun (2000-2010). Hasil mendapati tren EVI hutan dipterokarpa lebih bervariasi pada
2009 dengan nilai EVI antara 0.39-0.64 berbanding tren pada 2007 yang tekal dengan nilai EVI antara 0.33-0.57. Tren
fenologi kelapa sawit pada 2007 lebih kerap mengalami turun naik berbanding pada 2009, masing-masing dengan EVI
antara 0.45-0.71 dan 0.5-0.74. Corak fenologi pokok getah pada kedua-dua tahun kajian adalah sama dan julat EVI
pada 2009 adalah lebih kecil berbanding 2007, masing-masing dengan EVI antara 0.39-0.62 dan 0.30-0.73. Pengaruh
masa susulan ke atas tahap kehijauan tumbuhan telah dikesan, khususnya selepas peristiwa hujan lebat dalam dua
tahun tersebut dan sedikit sebanyak mempengaruhi nilai korelasi antara pemboleh ubah purata hujan bulanan dengan
EVI tumbuh-tumbuhan. Permulaan dan pengakhiran musim pertumbuhan hutan dipterokarpa bagi kedua-dua tahun
berlaku dalam bulan yang sama, iaitu Februari (permulaan musim) dan Disember (pengakhiran musim). Tidak wujud
perbezaan yang ketara antara panjang musim pertumbuhan kelapa sawit bagi kedua-dua tahun, iaitu hanya 32 hari
lebih panjang pada 2007 berbanding 2009. Musim pertumbuhan pokok getah pula adalah lebih panjang pada 2007 dan
lebih singkat pada 2009, masing-masing 176 hari dan 113 hari.