Sains Malaysiana, 2016;45:1869-1877.

Abstract

Penyelidikan ini dijalankan untuk mengesan perubahan guna tanah dan litupan bumi (LULC) di daerah Gombak, Selangor melalui pendekatan penderiaan jauh. Perbandingan data siri masa antara tahun 1989-1999, 1999-2014 dan 1989-2014 telah dilakukan bagi melihat perubahan LULC. Data yang digunakan ialah imej satelit Landsat (TM dan OLI-TIRS) dan Peta Guna Tanah Selangor 1990 terbitan Jabatan Pertanian Malaysia. Guna tanah dibahagikan kepada lima kategori utama, iaitu badan air, hutan, getah, kelapa sawit dan tepu bina. Penilaian ketepatan antara LULC hasil daripada pengelasan imej penderiaan jauh dengan peta guna tanah 1990 dikira berdasarkan Koeffisien Kappa menerusi teknik ralat matrik dan nilai ketepatan adalah 74.5%. Analisis GIS ke atas imej pasca klasifikasi menunjukkan perubahan sebenar LULC bagi tahun perbandingan 1989-1999 ialah 13.69%, seterusnya meningkat kepada 18.65% bagi tahun 1999-2014 dan terus meningkat bagi tahun bandingan 1989-2014, iaitu 24.25%. Guna tanah getah mengalami perubahan sebenar paling tinggi berbanding guna tanah lain dengan -47.73% bagi tahun bandingan 1989-1999, manakala tahun bandingan 1999-2014 menunjukkan guna tanah tepu bina mengalami perubahan paling tinggi dengan +44.53% dan pada tahun 1989-2014 pula guna tanah getah mengalami perubahan sebenar paling tinggi sebanyak -34.6%. Kemerosotan guna tanah getah sangat ketara di daerah Gombak dan mempunyai kaitan dengan peningkatan kawasan guna tanah tepu bina. Secara umumnya, pola perubahan guna tanah dan litupan bumi di daerah Gombak selari dengan perkembangan dan pelaksanaan pembangunan semasa oleh pihak berkuasa.