Sains Malaysiana, 2014;43:359-367.

Abstract

Kajian ini bertujuan mendapatkan gabungan statistik untuk pemodelan hujan kelompok berstokastik Denyut Segi Empat Neyman-Scott (NSRP) yang mampu memberikan pemadanan terbaik bagi hujan di stesen hujan Semenanjung Malaysia. Enam set gabungan statistik, yang setiap setnya mengandungi gabungan statistik momen (1, 2 dan 3) dan kebarangkalian hujan dalam selang masa yang singkat (jam) dan panjang (harian), serta empat taburan yang berbeza bagi kelebatan sel hujan (Eksponen, Campuran Eksponen, Gamma dan Weibull) telah dikaji. Penyelidikan telah dilakukan ke atas sembilan stesen hujan yang mewakili rantau yang berbeza di Semenanjung Malaysia. Hasil mendapati bahawa statistik momen ke-3 (kepencongan) tidak memberikan sumbangan yang baik dalam menjayakan model. Selang masa 1, 6 dan 24 jam didapati yang terbaik bagi statistik momen kedua (variasi) bagi menjayakan model. Kajian ini juga mendapati bahawa taburan eksponen adalah yang terbaik bagi pemodelan hujan NSRP di Semenanjung Malaysia.