Abstract

Kaedah momen merupakan salah satu teknik termudah dan sering digunakan dalam statistik hidrologi. Bagaimanapun, penganggar momen selalunya memberikan kualiti yang rendah dan tidak sebaik penganggar L-momen terutamanya untuk taburan dengan tiga parameter atau lebih. Pada masa kini, banyak kajian analisis frekuensi serantau dalam hidrologi menggunakan gambar rajah nisbah L-momen untuk memilih taburan yang sesuai bagi data hidrologi dan meteorologi. Kelebihan utama gambar rajah nisbah L-momen adalah pemilihan beberapa taburan yang sesuai boleh dilakukan menggunakan satu graf sahaja. Tujuan utama kertas ini untuk melihat kembali LQ-momen dan untuk membangunkan gambar rajah LQ-momen berdasarkan penganggar median. Menggunakan data aliran banjir dari 73 buah stesen dalam Semenanjung Malaysia, kami meninjau kesesuaian pelbagai model kebarangkalian menggunakan gambar rajah nisbah LQ-momen dan dibandingkan dengan gambar rajah nisbah L-momen. Hasil kajian menunjukkan gambar rajah nisbah LQ-momen secara umumnya memberikan keupayaan yang baik sebagaimana gambar rajah nisbah L-momen dalam memilih taburan frekuensi dan ini membuatkan ianya sesuai untuk dijadikan sebagai pilihan yang menarik untuk digunakan dalam analisis frekuensi banjir.