Abstract

Kajian ini bertujuan untuk memetakan kes kemortalan bayi mengikut daerah di Semenanjung Malaysia bagi tahun 1991 hingga 2000. Penganggaran risiko relatif berdasarkan kaedah Bayes empirik telah digunakan dalam kajian ini. Tiga kaedah penganggaran parameter dihuraikan iaitu kaedah momen, kaedah kebolehjadian maksimum dan kaedah penganggaran gabungan momen dan kebolehjadian maksimum. Keteguhan anggaran parameter yang diperoleh diuji menggunakan kaedah Bootstrap. Hasil kajian mendapati jurang antara kawasan berisiko rendah dengan kawasan berisiko tinggi adalah lebih besar pada awal dekad 2000 berbanding pada awal dekad 1990-an walaupun pada dasarnya kadar mortaliti bayi secara keseluruhannya adalah semakin berkurangan pada peringkat nasional. Kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia masih pada takuk yang sama iaitu masih berada dalam kategori berisiko tinggi sepanjang tempoh yang dikaji. Seterusnya, gambaran terdapatnya tompokan risiko juga turut terpapar dalam peta yang dihasilkan. Berdasarkan kaedah Bootstrap, parameter-parameter yang dianggarkan dalam kajian ini adalah teguh.