Displaying all 2 publications

Abstract:
Sort:
  1. Sahibin Abd. Rahim, Tukimat Lihan, Baba Musta, Adong Laming, Zulfahmi Ali Rahman, Wan Mohd. Razi Idris, et al.
    Kandungan logam-logam berat Pb, Zn, Ni, Co dan Cd pada empat bahagian tumbuhan Nepenthes sp. (akar, batang, daun dan periuk) serta substrat tanih yang menyokong pertumbuhannya dari kawasan bekas lombong bijih timah dan besi di Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor telah ditentukan. Komposisi logam-logam berat dalam sampel tanih diekstrak menggunakan campuran asid nitrik pekat dan asid perklorik. Pengekstrakan logam berat dalam tumbuhan pula dilakukan menggunakan kaedah penghadaman basah. Kandungan logam berat di dalam ekstrak larutan tanih dan tumbuhan ditentukan menggunakan Spektrofotometer Penyerapan Atom kaedah nyalaan (FAAS-model Perkin Elmer 3300). Nilai koefisien Penyerapan Biologi (BAC) yang merupakan nisbah kandungan logam berat dalam tumbuhan kepada kandungan logam berat dalam tanih ditentukan secara kiraan. Hasil kajian menunjukkan bahawa tanih di kawasan kajian adalah berasid dan didominasi oleh pasir. Kandungan bahan organik dan kepekatan garam dalam tanih pula adalah rendah, manakala nilai pH adalah berasid. Logam Zn (698.5 mg/kg) menunjukkan kepekatan yang tinggi di dalam substrat tanih diikuti oleh logam Co (182.9 mg/kg), Pb (58.2 mg/kg), Ni (12.2 mg/kg) dan Cd (2.09 mg/kg). Kepekatan logam berat di dalam tumbuhan mengikut kepekatan menurun adalah Ni>Co>Cd>Pb>Zn. Kepekatan logam di dalam bahagian-bahagian tumbuhan tidak menunjukkan perbezaan signifikan bagi semua logam. Tumbuhan Nepenthes sp. didapati menumpukkan logam Ni dalam kepekatan yang tinggi sebagaimana yang ditunjukkan nilai BACnya yang tinggi. Tumbuhan ini mungkin boleh digunakan sebagai bio-penunjuk bagi kehadiran Ni dalam kepekatan yang tinggi di dalam tanih.
  2. Sahibin Abd. Rahim, Zulfahmi Ali Rahman, Wan Mohd Razi Idris, Azman Hashim, Tukimat Lihan, Muhd Barzani Gasim, et al.
    Kajian kandungan logam berat Cd, Co, Cr, Ni, Pb, dan Zn telah dilakukan ke atas tumbuhan Arundina graminifolia daripada kawasan Lombong Pelepah Kanan, Kota Tinggi, Johor. Kandungan logam berat yang sama turut ditentukan ke atas substrata tanih di tempat di mana tumbuhan itu diambil. Kandungan logam berat dalam tiga bahagian tumbuhan iaitu akar, batang dan daun telah diekstrak secara penghadaman basah manakala kandungan logam berat tersedia dan resistan dalam tanih diekstrak dengan kaedah pengekstrakan berjujukan. Kandungan logam berat jumlah didapati dengan menjumlahkan logam berat tersedia dengan logam berat resistant. Kandungan logam berat di dalam larutan ekstrak tanih dan tumbuhan ditentukan menggunakan Spektrofotometer Serapan Atom Nyalaan. Kandungan logam berat Cd, Cr, Ni dan Pb adalah setara kandungannya dalam semua bahagian tumbuhan manakala kepekatan Co dan Zn adalah tiga hingga lima kali lebih tinggi berbanding tumbuhan kawalan. Bagi kandungan logam berat di dalam bahagian tumbuhan yang berbeza didapati kepekatan Cd adalah lebih tinggi dalam akar (2.03 mg/kg) diikuti oleh daun (1.67 mg/kg) dan batang (1.49 mg/kg). Kepekatan Co adalah lebih tinggi dalam daun (9.26 mg/kg) diikuti oleh akar (9.18 mg/kg) dan batang (6.94 mg/kg). Kepekatan Cr mengikut susunan menurun adalah akar (0.46 mg/kg) > daun (0.19 mg/kg) > batang (0.08 mg/kg). Kepekatan Ni adalah lebih tinggi dalam daun (2.78 mg/kg) diikuti oleh akar (2.71 mg/kg) dan batang (1.66 mg/kg). Kepekatan Pb mengikut susunan menurun adalah akar (10.34 mg/kg) > daun (4.18 mg/kg) > batang (3.75 mg/kg). Kepekatan Zn lebih tinggi dalam daun (44.03 mg/kg) diikuti oleh akar (32.30 mg/kg) dan batang (13.21 mg/kg). Kandungan logam berat jumlah dalam tanih adalah masing-masing 2.07-5.59 mg/kg, 8.72-39.93 mg/kg, 1.81-2.14 mg/kg, 2.66-6.87 mg/kg, 23.02-51.56 mg/kg and 0.64-2.61 mg/kg bagi Ni, Zn, Cd, Pb, Co dan Cr. Didapati bahawa kandungan fraksi tersedia dalam tanih adalah 21.9% bagi Ni, 15.3% bagi Zn, 49.9% bagi Cd, 19.3% bagi Pb, 45.7% bagi Co and 0% bagi Cr. Koefisien penyerapan biologi tumbuhan ke atas logam berat yang dikaji adalah rendah keculai bagi Zn yang nilainya lebih daripada 1. Tumbuhan ini tidak sesuai digunakan sebagai agen fitoremediasi untuk logam-logam di atas.
Related Terms
Filters
Contact Us

Please provide feedback to Administrator (afdal@afpm.org.my)

External Links