Abstract

Kajian ini melibatkan pemantauan perkembangan parasitemia dan taburan morfologi Plasmodium berghei sewaktu infeksi parasit dalam mencit, serta penentuan kesan infeksi P. berghei ke atas pengisyaratan MAP kinase eritrosit perumah. Analisis mikroskop ke atas slaid calitan darah terwarna-Giemsa yang disediakan daripada mencit terinfeksi-P. berghei (strain PZZ1/00) menunjukkan darjah parasitemia mencapai sehingga 70% dalam masa dua minggu selepas penyuntikan parasit. Morfologi cecincin dan trofozoit parasit dicerap dengan jelas sepanjang tempoh infeksi manakala morfologi skizon parasit hanya dicerap dengan ketara selepas hari ketiga selepas penyuntikan parasit. Pemblotan Western [antibodi primer: anti-MAP kinase (ERK-1/2 tak terfosfat) monoklon; antibodi sekunder: anti-IgG, poliklon terkonjugat-HRP] ke atas protein sitosol eritrosit terinfeksi-P. berghei (70% parasitemia) susulan pemisahan SDS-PAGE menunjukkan bahawa keamatan protein imunoreaktif-MAP kinase eritrosit berberat molekul 42 dan 44 kDa didapati meningkat secara signifikan (p<0.05) pada 70% iaitu peningkatan sebanyak 21.5% dan 22.3% masing-masing berbanding sampel kawalan tanpa infeksi. Samada kesan infeksi P. berghei (70% parasitemia) ke atas pengisyaratan MAP kinase perumah ini berkaitan dengan pengaktifan enzim ini perlu dikaji dengan lebih lanjut.